BAITULMUQADDIS: MALAYSIA AKAN SUARAKAN BANTAHAN DI PBB

Malaysia akan menyuarakan pendirian tegasnya menolak pengisytiharan unilateral Amerika Syarikat berhubung isu Baitulmaqdis di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib Tun RazakPerdana Menteri berkata Malaysia menyokong usul Mesir yang menolak pengisytiharan unilateral Amerika Syarikat yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Walaupun kita  bukan anggota Majlis Keselamatan PBB, tapi sebagai anggota PBB, kita berhak tunjukkan pendirian kita. Saya  telah utarakan dengan tegas dan jelas bahawa isu ini kita tentang (bantah) dan ia bertentangan dengan resolusi Majlis Keselamatan sebelum ini.

“Ia juga merupakan sesuatu yang tidak boleh diputuskan secara unilateral, hanya melalui rundingan sahaja sebab hak rakyat Palestin  tidak boleh diketepikan,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana, Hulhule pada Rabu.

Perdana Menteri berada di Maldives untuk lawatan rasmi dua hari yang berakhir hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan agensi  berita Xinhua bahawa Perhimpunan Agung PBB akan mengadakan sidang tergempar khas pada Khamis selepas Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya terhadap resolusi yang dicadangkan Mesir supaya negara kuasa besar itu menarik balik keputusannya.

Ditanya mengenai Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di Masjid Putra, Putrajaya pada Jumaat ini, perdana menteri berkata beliau menerima undangan untuk menghadiri perhimpunan itu bersama-sama dengan rakyat Malaysia.

“Saya terima undangan itu sebab saya nak tunjuk dalam isu ini, ia tidak terhad kepada kerajaan sahaja tapi seluruh masyarakat Islam Malaysia ingin menunjukkan bantahan kita terhadap pengisytiharan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel,” kata beliau.

Terdahulu, semasa sidang berita bersama Presiden Maldives Abdulla Yameen Abdul Gayoom di Pejabat Presiden, Najib mengulangi bahawa Malaysia menolakan sama sekali langkah menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Abdulla Yameen pula berkata, beliau dan Najib saling bertukar  pandangan mengenai keadaan di Palestin dan di negeri Rakhine, Myanmar yang melibatkan Muslim Rohingya serta bersetuju  untuk bekerjasama lebih erat berhubung isu-isu tersebut.

Mengenai isu Rohingya, Najib berkata, beliau memberitahu Abdulla Yameen bahawa Malaysia melakukan segala yang mungkin untuk meringankan penderitaan pelarian Rohingya.

“Pendirian kami amat jelas bahawa sesuatu yang positif  perlu dilakukan untuk memastikan ketidakadilan dan penganiayaan terhadap Rohingya dihentikan. Mereka sepatutnya dibenarkan kembali ke kediaman mereka,” kata beliau.

Najib berkata, Malaysia belum lagi melihat sebarang hasil positif selepas Myanmar berkongsi komitmennya dengan Malaysia untuk menyelesaikan isu Rohingya.

Beliau berkata, Malaysia dan Maldives turut berkongsi pendirian sama berhubung usaha memerangi ekstremisme ganas terutamanya ‘ideologi jahat IS (Negara Islam) dan Daesh’.

“Saya  telah menjelaskan kepada presiden (Maldives) tentang  beberapa  langkah  awal yang kami perkenalkan di Malaysia. Walaupun begitu, ancamannya masih ada dan ia merupakan bahaya yang amat nyata bagi Malaysia dan seluruh dunia,” kata beliau.

Kedua-dua pemimpin itu turut mengesahkan komitmen mereka untuk memerangi keganasan dan menggandakan usaha bersama mereka menentang ancaman keganasan dalam semua bentuk dan manifestasi yang mengancam dunia.

Selain itu, Najib dan Abdulla Yameen membincangkan isu-isu kepentingan antarabangsa dan serantau termasuk mengenai perubahan iklim dan pembangunan lestari.

“Kami (Malaysia) sangat bersimpati dan berasa empati dengan keadaan negara-negara pulau termasuk Maldives kerana jika kita tidak melakukan apa-apa berhubung perubahan iklim, maka, negara-negara pulau pasti akan terjejas teruk,” kata Najib. – Bernama

Categorised in: Agama, Berita, Utama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog Stats

  • 11,486 hits
%d bloggers like this: