BENARKAH ZAKAT PENDAPATAN TIADA DALIL?

BENARKAH ZAKAT PENDAPATAN TIADA DALIL?

Soalan:

Ada pihak menyatakan, hukum ke atas zakat pendapatan bukanlah wajib. Ada yang beranggapan, ia bid’ah dalalah (sesat), dan haram mengutipnya. Mereka berhujah, tiada dalil jelas di dalam al-Quran mahu pun al-hadis yang mewajibkannya dan ia tidak dibahaskan oleh Imam as-Syafie di dalam kitabnya. Pastilah kenyataan-kenyataan seperti ini menimbulkan keraguan. Mohon pencerahan ustaz, terima kasih.

Jawapan:

Melihat kepada persoalan di atas, pastilah ia suatu yang perlu diperbetulkan. Memang tidak dinafikan, masih ada segelintir asatizah dan orang awam di dalam masyarakat kita yang memandang sinis kepada perlaksanaan zakat pendapatan ini. Mereka menggunakan pelbagai alasan, termasuklah apa yang dipaparkan di dalam soalan saudara di atas. Namun begitu, benarkah dakwaan mereka?

Perkara pertama yang ingin diperjelaskan ialah, hukum ke atas zakat pendapatan itu adalah wajib. Dari manakah datangnya hukum wajib berkenaan? Di peringkat kebangsaan, ia datang daripada keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada tahun 1997. Negeri-negeri lain pula menyusul seperti Negeri Sembilan (1998) , Kelantan (1999), Melaka , Johor (2000), Selangor (2001) dan negeri negeri lain

Setakat ini majoriti negeri telah memfatwakan wajib ke atas zakat pendapatan. Jadi, apakah fatwa dan apakah peranannya dalam isu zakat pendapatan?

Fatwa secara umumnya bermakna suatu keputusan yang dikeluarkan oleh pihak mufti yang mempunyai kuasa (autoriti), dalam hal ehwal agama Islam. Keputusan fatwa itu pula menjadi pengikat atau pemutus kepada sebarang pertikaian dalam kalangan umat Islam. Apabila fatwa diwartakan, maka ia menjadi undang-undang yang ada implikasi hukuman jika diingkari.

Oleh kerana zakat pendapatan ini perkara khilafiyah (berbeda pendapat), maka peranan fatwa sangat penting untuk menyatukan perbedaan itu. Hari ini apabila ia diputuskan wajib, maka sewajarnya ia menutup segala pintu perbezaan. Ini kerana dalam memutuskan sesebuah fatwa, banyak aspek diambil kira. Ia merangkumi pandangan fuqaha muktabar mazhab utama, fuqaha kontemporari, aspek maslahah dan keperluan lain yang mendesak.

Sewajarnya semua pihak tidak memberikan pandangan yang menolak fatwa atau mencabar fatwa. Jika fatwa tidak dihormati, maka ia mencetuskan polemik dan kericuan dalam masyarakat. Menghormati fatwa juga merupakan adab dalam berikhtilaf (berbeza pendapat) yang harus difahami, khususnya di kalangan asatizah dan agamawan. Jika tidak bersetuju dengan sesebuah fatwa, ada kaedah tertentu untuk memberikan pandangan, bukan dengan cara tidak sopan dan melanggar adab.

Keduanya, benarkah Zakat Pendapatan ini dilaksanakan tanpa ada sebarang dalil dan hujah? Bagi orang yang faham, mereka akan menolak pandangan seperti ini. Sesungguhnya dalam kaedah fiqh, sesuatu ibadah itu apabila mahu dilaksanakan ia terlebih dahulu mestilah mempunyai dalil. Kaedah fikah menyatakan: “al-aslu fil ‘ibaadati, at-tahrim”, yakni asal suatu ibadah itu adalah terhalang, sehinggalah ada dalil yang membolehkannya.

Maka, menyatakan perlaksanaan zakat pendapatan tanpa dalil adalah sangat tidak betul. Sebenarnya, ada banyak dalil yang boleh dijadikan sandaran dan hujah. Mari kita telusuri satu persatu di antara dalil-dalil itu.

Dalil pertama, firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, infakkanlah (keluarkan zakat) sebahagian daripada hasil usaha kamu (ma kasabtum) yang baik-baik dan sebahagian daripada apa-apa yang Kami keluarkan daripada bumi untuk kamu.” (al-Baqarah, 2: 267)

Fuqaha menyatakan, penggunaan kalimah ‘ma kasabtum’ (daripada hasil usaha kamu) adalah jelas menunjukkan kepada elemen pekerjaan. Apabila bekerja, maka dari sana datangnya harta dan harta itulah yang disebut sebagai ‘pendapatan’. Maka, sesuai dengan perintah Allah SWT di dalam ayat di atas, ia hendaklah diinfakkan sebagai zakat.

Dalil kedua dipetik dari sebuah hadis sahih, Abu Musa as-Sya’ari r.a berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Menjadi sesuatu kewajipan atas setiap muslim bersedekah (berzakat)”. Sahabat-sahabat bertanya, “Wahai Rasullullah, bagaimana yang tidak mempunyai harta?”. Baginda menjawab, “Bekerja untuk mendapat sesuatu untuk dirinya lalu bersedekah.” (Hadis sahih riwayat Imam Bukhari)

Jika dilihat kepada hadis di atas, jelas nabi menyuruh para sahabatnya bekerja, agar mereka dapat memberikan sedekah. Mungkin ada pihak berkata, kalimah yang digunakan oleh nabi di atas adalah ‘sedekah’ dan bukannya ‘zakat’, maka ia tidak boleh diindikasikan sebagai zakat. Benarkah demikian?

Jawapannya, sekali lagi kita mesti memahami makna ‘sedekah’ (sadaqah) dalam terminologi al-Quran dan al-hadis. Sadaqah ada kalanya membawa maksud sadaqah sunat dan ada masanya sadaqah wajib (zakat). Banyak kali Allah SWT menggunakan kalimah ‘sadaqah’ tetapi maknanya merujuk kepada zakat, misalnya pada ayat 60 dan 103 surah at-Taubah, yang jelas merujuk kepada zakat.

Dalil ketiga, Daripada Abu Said r.a., katanya Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak wajib zakat pada mata wang (perak) yang kurang dari lima uqiah.” (Hadis sahih riwayat Imam Bukhari)

Maka dari mana datangnya mata wang perak (dirham) itu, jika bukan melalui jalan pekerjaan atau perolehan dari sesuatu sumber. Ia adalah melalui jalan pekerjaan atau diusahakan. Persoalan yang dapat dipicu daripada dalil-dalil di atas yang wajar difikirkan ialah:

a) Zaman nabi setiap pekerjaan dibayar upahnya dengan dinar dan dirham, maka zaman sekarang dalam Ringgit Malaysia, betul atau salah?

b) Zaman nabi apabila sahabat yang bekerja mendapat upah dalam dinar atau dirham, maka nabi mewajibkan zakat atas dinar dan dirham, maka zaman sekarang orang bekerja mendapat RM maka diwajibkan zakat atas RM, sama atau tidak?

Seandainya kita berfikir dengan minda yang jernih, maka jelas di sini sesungguhnya perlaksanaan zakat pendapatan mempunyai banyak dalil dan hujah. Pastilah ruangan yang kecil ini tidak mampu menampung semua hujah itu. Namun cukuplah bagi kita untuk mengetahui, bahawa para Khulafa’ ar-Rasyidin sendiri telah memilih melaksanakan zakat pendapatan ini semasa mereka memerintah lagi. Ia bukanlah benda baharu.

Kesimpulannya, perlaksanaan Zakat Pendapatan hakikatnya memberikan lebih banyak kebaikan daripada menafikannya. Ingatlah, Islam adalah agama yang sangat mudah berinteraksi dengan zaman. Apabila zaman berubah, ia tetap serasi dengan Islam. Itulah keindahan Islam, termasuklah dalam perlaksanaan ibadah zakat. Maka, jadilah kita orang yang paling awal melaksanakan zakat pendapatan sebelum terlambat.

Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah aku memberitahu kepada kamu siapakah ahli-ahli neraka? mereka itu ialah orang-orang yang keras kepala, sombong, suka mengumpul harta tetapi tidak suka membelanjakan untuk kebaikan.” (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Wallahua’lam.

JomTunaikan Zakat Anda

Oleh: Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog Stats

  • 11,485 hits
%d bloggers like this: