RUMITKAH MENANGANI KEMISKINAN?

Umumnya orang akan berfikir, menangani kemiskinan itu mudah. Berikan mereka duit, habislah. Tetapi, realitinya tidak semudah itu. Menangani kemiskinan bukan kerja sehari dua. Ia kerja yang tidak ada tarikh luputnya.

Mari kita lihat sejarah. Kemiskinan telah ada sejak zaman berzaman. Zaman Nabi Muhammad SAW juga ada kemiskinan. Sebelum baginda diutuskan, kemiskinan sudah ada. Mungkin tidak mustahil, kemiskinan itu sama usianya dengan manusia. Jika kemiskinan bisa dihapuskan, maka sudah pasti ia pupus. Namun, ia tetap ada. Maka, jelas bahawa kemiskinan bukanlah mudah ditangani.

Perubahan zaman menyaksikan manusia menjadi kompleks. Kompleks bermakna semakin rumit. Maka, kemiskinan juga berevolusi menjadi kompleks atau rumit. Hasilnya, kemiskinan zaman silam mungkin lebih mudah ditangani. Kemiskinan hari ini pula, semakin sukar.

Misalnya zaman dahulu, perbandaran sangat sedikit. Maka wajah kemiskinan dilukis sebagai orang yang tidak cukup makan pakai, anak tidak bersekolah dan mereka hidup cukup sederhana. Namun, mereka ada rumah. Paling tidak, masayarakat silam mempunyai sokongan keluarga dan masyarakat yang kuat. Ada jiran atau keluarga sanggup memberikan tanah untuk dibina rumah tanpa dikenakan biaya sesen pun.

Hari ini, kemiskinan paling tragis adalah kemiskinan bandar. Sebut nama bandar, kita harus memahami situasinya. Bandar adalah pusat aktiviti pelbagai ragam manusia, sama ada positif atau sebaliknya. Kemiskinan di bandar, bias menjerumuskan mereka ke lembah noda dan perlanggaran undang-undang. Pelacuran, jenayah ragut dan salah guna dadah adalah antara contohnya.

Inilah yang dinamakan dinamika kemiskinan. Dinamik bererti kemampuan berubah dan berevolusi sesuai dengan keadaan. Kemiskinan yang ada hari ini, realitinya semakin kompleks, semakin dinamik dan sesungguhnya, semakin sukar untuk ditangani.

Namun begitu, bukanlah bermakna ia tidak bisa ditangani langsung. Susah bermakna sukar, bukan tidak ada jalan keluar. Fakir dan miskin yang ada hari ini, hakikatnya tetap merupakan individu yang dikurniakan Allah SWT dengan akal fikiran dan kemampuan fizikal yang setara dengan orang lain. Apa yang perlu hanyalah kemahuan. Kemahuan mahu berubah. Mahu melihat diri menjadi maju. Itulah ‘kuasa mahu’.

Kuasa mahu sebenarnya mampu mengatasi kemiskinan. Mari kita lihat kuasa mahu dari kaca mata orang kebanyakan. Ayuh kita lihat orang-orang asing yang ada di negara kita. Mereka itu contoh ‘orang yang mahu’ paling tepat.

Mereka mahu berubah. Mereka mahu menjadi kaya. Mereka mahu hidup bermaruah. Mereka mahu hidup lebih terbela. Mereka mahu anak cucu mereka tidak mewarisi kemiskinan. Mereka mahu buktikan mereka boleh berjaya. Mereka mahu menikmati kehidupan yang lebih baik.

Mahu itulah yang menghantar mereka ke sini. Jauh beribu batu. Jauh beribu kilo meter. Merentasi samudera melawan gelora, menggadai nyawa. Meninggalkan segalanya. Anak isteri, ibu ayah, kampung halaman, kekasih dan teman sepermainan. Meninggalkan sungai dan padang yang membesarkan mereka. Meninggalkan apa yang mereka ada. Mereka datang ke tempat, di mana mereka tidak ada apa-apa.

Pelik bin ajaib. Tetapi itulah kuasa mahu. Dengan kemahuan itulah, mereka rempuh segalanya. Mereka tidak perduli lagi dengan kesakitan. Mereka kesampingkan rasa malu. Ketepikan rasa takut. Persetankan rasa rendah diri. Apa yang mereka tahu, mereka mahu sesuatu. Kemahuan itulah kunci yang menggerakkan hati mereka. Ia sangat fantastik!

Natijahnya, sangat luar biasa. Berapa ramai warga asing yang asalnya bagaikan ‘rusa sesat’ itu menjadi manusia berjaya. Dari awalnya berjalan kaki, mereka membeli basikal. Kemudian motorsikal. Kemudian kereta buruk. Kemudian mempunyai sebuah kedai runcit atau kedai cuci kereta. Kemudiannya dan kemudiannya, mereka menjadi tokeh besar.

Ini realiti. Jika kita mahu melihat dengan mata yang jujur, hati yang ikhlas, ia ada di sekeliling kita. Berapa banyak pengusaha kedai cuci kereta hari ini milik mereka? Berapa banyak kedai runcit kini milik mereka? Banyak mana kedai makan milik mereka? Banyak mana pula sub-kontraktor dari kalangan mereka? Banyak mana dan banyak mana?

Hari ini jika mahu membuat renovasi rumah, merekalah ahlinya. Jika mahu membersihkan ladang dan kebun, mereka jugalah ahlinya. Jika mahu membuat kerja kenduri kahwin, alamak mereka juga ada. Pendeknya, di mana-mana mereka ada.

Namun, mereka bermula dari kecil. Dari pam atendan di stesen minyak. Mungkin dari kuli paling bawah pengangkut guni simen. Mungkin sebagai pencari besi buruk. Mungkin juga pembasuh pinggan kotor dengan gaji paling minima. Namun itu hanya permulaan. Tunggulah saatnya, saat mereka berubah. Akhirnya mereka pulang ke kampung halaman, sebagai orang kaya.

Jadi, di manakah salahnya kita dalam menangani kemiskinan? Jawapannya sukar diberi, namun boleh difikir. Pertama, cara kita melayani kemiskinan. Adakah kita terus menyuburkannya? Kedua, adakah orang-orang kita tidak ada kuasa ‘mahu’ untuk berubah, maka mereka selesa dengan kemiskinan? Ketiga, adakah kerana kita memang ditakdirkan untuk terus menerima kemiskinan? Jangan salahkan Allah SWT, kerana jelas kemiskinan bisa diubah. Wallahua’lam.

Oleh:Ustaz Abu Iqbal

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog Stats

  • 11,485 hits
%d bloggers like this: