Asnaf Ar-Riqab:10 golongan songsang termasuk di dalamnya

Pengagihan Zakat Kepada Golongan Ar-Riqqab

Umat Islam mempunyai kasih sayang tidak terbatas kepada agama yang mulia ini. Namun sementara ramai yang beramal soleh, ada yang tercicir daripada landasan akidah dan akhlak. Sayang sekali, seruan Allah tidak diendahkan – dan bisikan jahat dijadikan dorongan.

Disebabkan itulah adanya gejala-gejala sosial dan keruntuhan akidah masing-masing seperti songsang dan syirik. Tetapi Islam masih lagi membuka pintu bagi golongan yang tercicir ini. Dan salah satu pelampung untuk elakkan mereka tenggelam ialah zakat.

Pada 5 Sept 2018 rakyat Malaysia digegarkan dengan paparan Buletin 1:30 mengenai 10 kategori mudah kata songsang yang layak menerima zakat. Tentu sekali boleh dibayangkan bagaimana kerajaan akan dikecam.

Namun harus ditegaskan bahawasanya perkara ini iaitu Asnaf al-Riqqab bukanlah baharu. Dua orang pensyarah dalam hal ehwal Syariah dan Fiqh pernah berpakat dalam satu kajian bersama seorang Felo Siswazah Syariah. Kajian mereka meneliti status ar-Riqqab sebagai penerima zakat di Malaysia hari ini. Umumnya, ar-Riqqab yang membawa tafsir “perhambaan” sudahpun tidak wujud pada zaman ini.

Jika benar, maka perkara ini menimbulkan persoalan mengenai Surah at-Taubah Ayat 60:
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya (ar-Riqqab), dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” – Qur’an 9:60.

Jika definisi ar-Riqqab hanya tertakluk kepada takrifan hamba sahaya semata-mata, maka mudah kata sebahagian daripada ayat ini sudahpun (nauzubillah) tidak dapat diaplikasikan lagi. Maka kajian tiga ilmuwan ini menyentuh sama ada konsep ar-Riqqab boleh diperluaskan lagi dengan “perhambaan” yang bersesuaian dengan edaran semasa dan tempat.

Sesungguhnya jika perhambaan itu sendiri berbeza ikut tempat, apatah lagi situasi yang menghambakan seorang manusia seperti gejala sosial dan akidah.

Maka aplikasi konsep ar-Riqqab ini jika dikembangkan dengan situasi di Malaysia sendiri sudahpun mencapai takrifan yang jauh lebih meluas. Sungguhpun perhambaan sahaya tidak diamalkan Malaysia, tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu masih aktif mengamalkan agihan zakat ar-Riqqab. Sebahagian ulama di Malaysia meluaskan “ar-Riqqab” itu sendiri untuk dikaitkan dengan pembebasan individu daripada belenggu.

Tiga belenggu telah dicapai persetuuan: 1) masalah sosial, 2) kejahilan dan 3) masalah akidah.

Ketiga-tiga negeri ini mempunyai pendekatan yang berbeza. Tetapi cukup jika hanya Selangor sahaja disentuh.
Takrifan ar-Riqqab di Selangor bagi belenggu masalah sosial dan akidah memperluaskan zakat kepada ENAM golongan:

Mangsa gejala dadah.

Pesalah syariah (minum arak, judi, zina, khalwat dsb).

Pendosa amal (tidak bersolat, berpuasa, cuba membunuh diri dsb.)

Pengamal songsang (pelacur, lesbian, homoseksual, maknyah atau transeksual, biseksual, pengkid, tomboy, gigolo dan bersekedudukan dengan orang bukan Islam)

Harus ditekankan bahawa paparan Buletin 1:30 sedang menyentuh tentang kategori keempat. Telahpun diperakui oleh Mufti Selangor sendiri bahawasanya golongan ini layak menerima zakat ar-Riqqab. Tetapi kategori ar-Riqqab masih lagi diteruskan:

Penglibat juvana (gengsterisme, pergaduhan, pecah rumah dsb.)

Pesakit kronik (HIV/AIDS, barah, dsb.)

Keenam-enam pecahan ini hanyalah bagi golongan yang menempuhi masalah sosial sahaja. Jika ditelusuri masalah akidah, barangkali lebih terkejut kerana pengamal syirik dan khurafat pun dikategorikan sebagai layak.

Kesemua ini telahpun diperakui oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor. Dalam sebuah mesyuarat Jawatankuasa Fatwa pada 14 Jun 2011, mereka dikategorikan sebagai penerima agihan Asnaf ar-Riqqab atas faktor menempuhi masalah sosial dan akhlak berdasarkan fatwa:
“Hukum penggunaan wang zakat asnaf riqqab bagi mereka yang terbelenggu dengan masalah sosial dalam menjamin akidah umat Islam agar kembali ke pangkal jalan adalah diharuskan.”
Beberapa jenis sumbangan telahpun dilaksanakan seperti belanja pengurusan dan pentadbiran, kursus program tertentu, perubatan, bantuan kecemasan dan pemulihan serta banyak lagi.

Sebanyak RM16.25 juta telahpun dibelanjakan dalam tempoh dua tahun selepas Majlis Fatwa bersetuju dengan perkara ini.

Untuk memudahkan pemahaman, agama Islam telah melontarkan pelampung untuk menyelamatkan golongan hanyut di lautan bergelora supaya dapat dikembalikan dalam kapal yang menuju kejayaan. Keputusan ini telahpun dibuat sejak 2011 lagi.

Sumber: http://ddms.usim.edu.my/bitstream/123456789/9886/1/Pelaksanaan%20Pengagihan%20Zakat%20Kepada%20Asnaf%20Ar%20Riqab%20Di%20Malaysia.pdf

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog Stats

  • 12,374 hits
%d bloggers like this: