Zakat Hanya Untuk Umat Islam

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menegaskan pengagihan zakat hanya bagi umat Islam di Selangor dan bukannya kepada agama lain.

Ia berikutan kekeliruan masyarakat berkaitan satu surat pekeliling dalaman organisasi itu yang menjadi tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Pekeliling itu tertera motto baharu yang membawa maksud LZS lebih dekat dengan masyarakat sekaligus mengukuhkan manfaat zakat untuk semua bukan hanya terhad kepada golongan mustahiq (orang yang berhak kepada harta zakat) malah kepada semua lapisan masyarakat tidak mengira usia, bangsa dan agama.

Ketua Pegawai Penyelarasnya, Abdul Basith Hamid berkata, pekeliling berkaitan motto baharu itu hanya dikeluarkan untuk warga kerja organisasi LZS.

Beliau berkata, skop pengagihan zakat di Selangor yang diuruskan LZS berdasarkan kepada hukum syarak yang merangkumi lapan kategori asnaf seperti yang dijelaskan dalam surah At-Taubah ayat 60.

“Terdapat kekeliruan dalam motto zakat yang akan ditukar pada tahun depan selaras dengan peranan zakat yang mensucikan dan menyuburkan.

“Bermula esok, LZS mengubah motto lama iaitu ‘Meneraju Perubahan’ kepada yang baharu iaitu ‘Manfaat Zakat Untuk Semua’.

“Motto ini membawa maksud amat luas yang menggambarkan bahawa ibadah zakat walaupun hanya dikhususkan kepada umat Islam tetapi manfaatnya dinikmati oleh semua ahli masyarakat dalam kitaran ekonomi dan sosial,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Kata Abdul Basith, sekiranya taraf kehidupan asnaf dipertingkatkan, ia secara tidak langsung akan meningkatkan taraf sesebuah negeri atau negara.

“Jika maju dan makmurnya sesebuah negeri atau negara, akan bermanfaat setiap rakyat di dalamnya tanpa mengira bangsa atau agama.

“Misalnya, seorang mahasiswa asnaf dibiayai dengan wang zakat dalam bidang perubatan sehingga berjaya menjadi seorang doktor pakar, maka manfaatnya dapat dinikmati semua pesakit tanpa mengira status, bangsa atau agama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa LZS tidak mempunyai kaitan atau dipengaruhi mana-mana pihak termasuk parti politik dan akan terus menyantuni asnaf di Selangor bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.

“Kita juga sentiasa mematuhi Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Peraturan-Peraturan Zakat Dan Fitrah (Negeri Selangor) 2012 dalam melaksanakan operasi agihan dan kutipan zakat.

“Agihan dan kutipan zakat di negeri ini sentiasa mengikut hukum syarak dan ia dipantau rapi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta dikawal selia oleh jawatankuasa yang dilantik termasuk Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s