Wajibkah PTPTN Bayar Zakat?

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997. PTPTN mula beroperasi pada 1 November 1997.

Ex_CJ_Abdul_Hamid_Mohamad.jpg

Ringkasnya, seksyen 3(1) Akta 566 menubuhkan suatu kumpulan wang yang dekenali sebagai Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. Seksyen 3(2) menyatakan kumpulan wang itu adalah terdiri daripada “apa-apa jumlah wang yang diperuntukkan dari semasa ke semasa oleh Kerajaan” kepadanya dan lain-lain.

Seksyen 4 menyatakan untuk tujuan apa Kumpulan Wang itu boleh dibelanjakan. Tujuan utamanya adalah untuk memberi pinjaman pendidikan kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan memberi bantuan kewangan kepada mereka selain dalam bentuk pinjaman pendidikan.

Seksyen 5(1) menubuhkan PTPTN dan mempertanggungjawabkannya bagi pengurusan Kumpulan Wang itu. Seksyen 5(2) memberi kuasa kepadanya untuk membawa guaman dan dibawa guaman atas namanya. Seksyen 5(3) memberi kuasa kepadanya untuk membuat kontrak, memilik dan mengurus harta alih (wang) dan harta tak alih (tanah) kepunyaannya.

Baru-baru ini PTPTN telah membayar zakat kepada Majlis Agama Islam Kedah sebanyak RM1 juta. Rencana ini mempersoalkan sama ada PTPTN wajib membanyar zakat.

PTPTN diperbadankan (ditubuhkan) oleh Parlimen untuk tujuan tertentu dan diberikan kuasa tertentu oleh Parlimen. Sebagai perbandingan, Tabung Haji juga diperbadankan oleh Parlimen. Tetapi, terdapat sedikit perbezaan antara Tabung Haji dengan PTPTN. Tabung Haji mempunyai pencarum (pemegang saham) yang beragama Islam, tetapi PTPTN tidak. Maka, apabila Tabung Haji membayar zakat, ia dikatakan membayar zakat bagi pihak pencarumnya, manusia yang beragama Islam. Hujah itu jelas tidak boleh digunakan bagi PTPTN yang tidak mempunyai pencarum.

Maka, apabila PTPTN membayar zakat, semestinyalah zakat itu adalah zakat dirinya, yang wajib baginya menunaikan sama seperti seorang Islam (orang yang beriman). Maka, soalnya, adakan PTPTN “seorang Islam” atau “orang yang berimam”?

Memanglah seorang manusia yang beriman (Islam) yang merdeka, dewasa, cukup akal wajib membayar zakat jika syarat-syaratnya dipenuhi. Kewajipan itu, seperti lain-lain ibadat, bukanlah bertujuan untuk dilanjutkan kepada bukan-manusia sama ada binatang, pokok, robot atau entiti undang-undang yang diwujudkan oleh undang-undang (mula-mula oleh cpmmom law, kemudian prinsipnya diterima pakai dan diperundangkan oleh Parlimen) untuk tujuan tertentu.

Saya tidak fikir terdapat apa-apa pertikaian bahawa Allah ﷻ telah mengutus Nabi-Nabi kepada manusia dan bahawa agama adalah untuk manusia kerana manusia boleh percaya atau tidak percaya, menerima atau menolak iman. Nabi Muhammad ﷺ  juga tidak berdakwah kepada selain daripada manusia. Al-Quran juga ditujukan kepada manusia. Sebab itulah terdapat banyak ayat-ayat yang bermula dengan “Wahai manusia ….” dan banyak pula ayat-ayat yang bermula dengan “Wahai orang-orang yang beriman …..“.

Apabila manusia menerima Islam sebagai agama mereka, beberapa perkara menjadi kewajipan mereka, misalan yang paling mudah ialah apa yang dipanggil “Rukun Islam” yang terdiri daripada syahadah, solat, puasa, zakat, dan haji.

Mengenai puasa, misalnya, Al-Quran mengatakan:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” – Al-Baqarah 183.

Mengenai zakat, ayat berikut telah dijadikan sandaran oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bagi mengeluarkan pendapat/fatwa bahawa syarikat (berhad) wajib membayar zakat:

Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” – Al-Baqarah 267.

Perhatikan bahawa kedua-duanya ditujukan kepada “Orang-orang yang beriman”.

Semestinya kata-kata itu bererti manusia yang boleh beriman.

Satu ayat lagi menyimpulkannya:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita“. – Al-Baqarah 277.

Ini adalah antara kewajipan ke atas orang Islam atau orang yang beriman. Tetapi, sebelum kewajipan itu terkena kepada manusia, dia mestilah beriman terlebih dahulu. Manusia boleh beriman dengan mempercayai Rukun-Rukun Iman. Bagaimana suatu perbadanan seperti PPTPN hendak percaya kepada Allah, Malaikat, Rasul, Kitab-Kitab yang diwahyukan Allah, Hari Kiamat dan Qada’ dan Qadar? Jika suatu perbadanan tidak boleh beriman, maka ia bukanlah “orang yang beriman” atau “seorang Islam”. Ia juga bukan kafir sebab ia juga tidak boleh menolak keimanan.

Ia ibarat sebatang pokok. Tidak ada pokok Islam dan pokok kafir. Bezanya PTPTN dengan sebatang pokok ialah walaupun PTPTN tidak boleh dilihat seperti sebatang pokok, ia diiktirafkan oleh undang-undang sebagai suatu entiti undang-undang yang boleh berkontrak, memiliki harta atas namanya dan lain-lain. Kuasa dan kewajipannya hanya setakat yang diberi dan ditetapkan oleh Parlimen.

Parlimen tidak melahirkan seorang manusia yang boleh beriman atau kufur. Parlimen tidak ada kuasa berbuat demikian. Hanya Allah ﷻ yang berkuasa melakukannya. Maka, kewajipan agama (ibadat) yang dikenakan oleh Allah ﷻ ke atas manusia ciptaannya yang boleh menerima atau menolak iman, tetapi telah memilih menerimanya, tidaklah boleh dikenakan ke atas suatu perbadanan seperti PTPTN.

Dalam rencana ringkas ini, saya tidak akan membincangkan keputusan-keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan keputusan Majlis Fatwa Selangor kerana perbincangan jawatankuasa-jawatankuasa itu adalah berkenaan syarikat-syarikat berhad yang mempunyai pemegang saham yang terdiri daripada manusia Islam dan bukan Islam.

Seperti yang disebut di awal tadi, PTPTN tidak mempunyai pemegang saham. Maka, keputusan jawatankuasa-jawatankuasa itu mengenainya tidaklah berkenaan dengan PTPTN.

Jika suatu perbadanan wajib membayar zakat, maka Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Majlis Agama Islam, memberi hanya dua misalan, juga wajib membayar zakat. Adakah Majlis Agama Islam membayar zakatnya?

Isu PTPTN adalah ibarat hujung gunung ais (tip of the iceberg). Semuanya bermula dengan kesilapan mengaplikasi ayat Al-Quran tanpa analisis yang mendalam dan kegagalan membezakan antara entiti undang-undang bukan manusia (perbadanan) yang dicipta oleh Parlimen dengan manusia yang dicipta oleh Allah ﷻ sendiri, yang boleh beriman atau tidak beriman. Sudah tentu, Allah ﷻ. tahu bahawa hukum-Nya adalah untuk ciptaan-Nya.

Sebagai kesimpulan, pada pendapat saya, PTPTN tidak wajib membayar zakat. Sekiranya ia tidak wajib membayar zakat, maka bayaran RM1 juta yang dikatakan sebagai zakat PTPTN itu adalah penyalahgunaan dana PTPTN. Ia harus diganti. Atau, Majlis Agama Islam Kedah yang menerimanya sebagai “zakat wajib PTPTN” hendaklah mengembalikannya kepada PTPTN, kerana ia adalah pembayaran yang salah.

Sesiapa yang ingin mendalami isu ini bolehlah membaca rencana-rencana dan ucapan saya mengenainya yang boleh didapati dalam laman-laman web saya: Obligation of Companies to Pay Zakat: Issues Arising From Effects of Separate Legal Entity (18 07 2012); Obligation of Companies to Pay Zakat: Summary of My Findings and My Views (18 07 2012); Obligation of Companies to Pay Pakat: Issues Arising from Effects of Separate Legal Entity (2012 LR 481); Obligation of Companies to Pay Zakat: Issues Arising From Effects of Separate Legal Entity (MLCC 03 07 2013); Critical Appraisal of the Companies’ Obligations to Pay Zakat in the Malaysian Context (International Company and Commercial Law Review, 2013 ICCLR 375) (19 10 2013); Kewajipan Syarikat Membayar Zakat: Isu-isu Yang Berbangkit Daripada Prinsip Entity Berasingan di Sisi Undang-undang (10 03 2016).

Ini hanyalah pendapat saya, berdasarkan hujah-hujah yang saya kemukakan. Hujah-hujah sebaliknya dialu-alukan, terutama sekali jika ditulis dalam bentuk artikel. Walau bagaimanapun, perlu diambil perhatian bahawa ini adalah perbincangan akademik berdasarkan syariah dan undang-undang. Apa-apa pendapat atau hujah yang dikemukakan diharapkan tidak didorong oleh atau berdasarkan pertimbangan untung dan rugi kepada Perbendaharaan Persekutuan atau Majlis Agama Islam Negeri.

Wallahu a’lam.

Penafian : Artikel ini adalah pandangan peribadi Tun Abdul Hamid Mohamad, Bekas Ketua Hakim Negara.

Sumber : ismaweb.net

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s