MAIWP bantu penjawat awam lumpuh

PUTRAJAYA 6 Mac – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menyampaikan sumbangan kerusi roda elektrik kepada seorang penjawat awam, Norasima Mohd. Arif, 51, yang lumpuh separuh badan sejak tujuh tahun lalu.

Sumbangan kerusi roda elektrik itu disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh di kediaman Norasima di Presint 9, di sini hari ini.

Sumbangan itu membolehkan dia yang kini bertugas di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak perlu lagi bergantung kepada suami, Abu Bakar Kasa, 52, untuk menguruskannya.
Menceritakan keadaan dirinya, ibu kepada tiga orang anak itu berkata, dia turut menderita penyakit darah tinggi dan kencing manis ketika diserang angin ahmar, tujuh tahun lalu.

“Ketika mengandung anak bongsu dan usia kandungan memasuki lapan bulan, saya diserang strok menyebabkan lumpuh separuh badan.

“Semasa mendapatkan rawatan di hospital, saya turut dijangkiti wabak Influenza A (H1N1) dan asma menyebabkan doktor terpaksa meletakkan saya dalam keadaan koma bagi mengubati virus tersebut sehinggalah anak dalam kandungan lahir melalui pembedahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

Norasima berkata, dia terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama dua tahun sebelum kembali bertugas menggunakan kerusi roda pada 2014.

Sepanjang Norasima bekerja semula, suaminya yang sebelum ini menyara keluarga dengan membawa teksi terpaksa melupakan tanggungjawabnya kerana terpaksa menumpukan perhatian kepada isteri dan menguruskan hal rumah tangga.

“Suami hantar saya ke pejabat pada sebelah pagi dengan menambang teksi dan akan tunggu di lobi KPDNHEP untuk membantu saya bergerak di pejabat seperti ke tandas atau surau.

“Selepas habis kerja, suami akan menolak saya pulang ke rumah kerana kami tidak mampu untuk membayar tambang teksi dua kali sehari,” katanya.

Sementara itu, Fuziah berkata, Norasima yang memegang kad orang kurang upaya (OKU) turut menerima bantuan kewangan secara bulanan sebanyak RM200 sejak 2015, bantuan perubatan am berbentuk alatan diabetik bernilai RM350 sejak 2013 serta lampin pakai buang berjumlah RM129 (2014).

“Kita harap dengan sumbangan kerusi roda elektrik ini dapat memudahkan pergerakan Norasima untuk bekerja tanpa bergantung kepada suaminya dan Abu Bakar juga boleh kembali bekerja bagi menyara keluarga,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s