CHRISTCHURCH: PUB-G DI ALAM REALITI

Oleh Rozais al-Anamy

INSIDEN tembakan terancang yang mensasarkan jemaah solat Jumaat di Masjid Al-Noor, Christchurch, Selandia Baru hari ini adalah rantaian tragedi hitam yang berlaku kepada umat Islam khususnya, penodaan terhadap kemanusiaan dan keamanan sejagat umumnya.

Dalam keterujaan mendepani ledakan revolusi industri dan kehidupan pascamoden, manusia makin mundur dalam tindak laku dan kewarasannya sehingga sanggup meragut nyawa orang awam.

Kelihatan pengganas menembak para jemaah masjid seolah-olah sedang bermain game PUB-G, dengan bangganya menewaskan satu persatu musuh yang berada di depannya. 40 nyawa manusia tiada harga baginya.

40 nyawa manusia menjadi tagan ketidakwarasan lelaki yang menembak para jemaah yang sedang solat Jumaat di Christchurch hari ini. FOTO: UTUSAN

Walaupun motif tembakan belum dipastikan, sama ada ia dilakukan oleh penjenayah yang sakit mental atau kerana dendam terhadap agama lain, lokasi kejadian menyebabkan ramai menyimpul persepsi bahawa ia dilakukan atas faktor agama.

Sejarah rantaian tembakan di masjid yang mengorbankan jiwa ini sudah lama terentang di depan kita.

Mengimbau tragedi di Quebec City, Kanada, luka pada jiwa umat Islam bagai dicurah cuka mengenangkan nasib yang sering menjadi mangsa kebencian agama dan kaum. Pada masa yang sama pula dituduh pengganas, penjenayah dan sering diasosiasikan dengan pemecah belah dan pelbagai watak negatif.

Walhal dalam kejadian ini, pengganas itu ialah bukan Islam yang membenci umat Islam, khususnya imigran di sana. Kebencian ini adalah jenayah jiwa yang tidak boleh dimaafkan apabila ia diterjemahkan dalam tindakan yang meragutnyawa manusia.

Kebencian ini adalah jenayah jiwa yang tidak boleh dimaafkan apabila ia diterjemahkan dalam tindakan yang meragut nyawa manusia.

Dalam kejadian pada 29 Januari 2017 itu, lelaki berusia 29 tahun, Alexandre Bissonnette menyerbu masuk ke dalam masjid di Pusat Kebudayaan Islam Quebec di kejiranan Sainte-Foy, Quebec City, sebelum melepaskan tembakan rambang ke arah 40 lelaki dan empat kanak-kanak, yang sedang berbual selepas menunaikan solat.

Ia mengakibatkan enam lelaki terbunuh, manakala lima lagi cedera parahdan kesemua mangsa adalah pendatang yang berasal dari Algeria, Guinea, Maghribi dan Tunisia.

Namun penjenayah, Bissonnette hanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana hakim Francois Huot menolak permintaan pihak pendakwaan yangmemohon hukuman penjara selama 150 tahun, yang dianggap paling lama di Kanada. Ini kerana bagi Huot, tempoh itu adalah luar biasa mengikut undang-undang Kanada dan ia dianggap terlalu kejam kerana melebihi tempoh jangka hayatnya.

Walaupun Huot mengecam tindakan Bisonette yang mempunyai kebencian meluap-luap terhadap imigran dan membunuh hanya kerana mereka berbeza daripadanya, umat Islam kecewa kerana nyawa saudara mereka tergadai hanya kerana emosi yang tidak terkawal dan wujudnya sikap perkauman dalam negara yang dihuni pelbagai latar belakang penduduk itu.

Alexandre Bissonnette (kanan) hanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana mengakibatkan enam lelaki terbunuh, manakala lima lagi cedera parah dalam satu serangan di Pusat Kebudayaan Islam Quebec di kejiranan Sainte-Foy, Quebec City, Kanada pada 29 Januari, 2017.

“Hanya disebabkan rasa benci dan sikap perkauman, kamu sudah memusnahkan hidup mereka, kamu sendiri dan ibu bapa kamu, dan jenayah yang kamu lakukan perlu dikutuk sekeras-kerasnya,” kata Huot.

Pada penghujung tahun pula, 26 November 2017, Kaherah digemparkan dengan kejadian letupan dan tembakan di sebuah masjid di Sinai Utara ketika penduduk tempatan menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Rawdah di El-Arish, pusat dakwah utama dan yang terbesar di El-Aris.

Insiden itu menyaksikan seramai 305 orang terbunuh termasuk 27kanak-kanak dan 128 yang lain cedera. Mangsa dikebumikan dengan pakaian berlumuran darah kerana menurut Islam, kesemua jemaah terkorban itu termasuk dalam golongan yang mati syahid.

Menurut kenyataan pejabat pendakwa raya, kira-kira 30 anggota militan Daesh mengepung masjid berkenaan sebelum mengebom serta menembak jemaah yangsedang menunaikan solat Jumaat.

Mengundur ke belakang lagi, tragedi pembunuhan di Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan, Cha-airong, Narathiwat yang berlaku pada 8 Jun 2009 mengorbankan 10 jemaah masjid yang sedang menunaikan solat Isyak.

Insiden itu disifatkan oleh anggota Parlimen Narathiwat, Najmuddin Umar sebagai yang terburuk pernah berlaku di Selatan Thai pada masa itu kerana belum pernah berlaku jemaah ditembak dalam masjid. Beliau begitu kesal atas kekejaman itu dan mempersoalkan kerajaan yang tidak berupaya mengawal keselamatan dan kesejahteraan penduduk.

Pelbagai persepsi timbul dari tragedi tersebut walaupun polis Thailand mendakwa serangan di masjid itu didalangi oleh kumpulan pemisah. Kebanyakannya merumuskan ia bermotifkan balas dendam kerana seorang penoreh getah Buddha ditembak mati di kampung berhampiran sebelum itu.

Ini berikutan saksi menyatakan mereka dapat mengecam beberapa anggota tentera yang keluar dan masuk semula ke masjid dan melepas beberapa das tembakan lagi bagi memastikan mangsa benar-benar mati. Pasukan tentera itu kemudian beredar ke kawasan kebun getah berdekatan.

Dari empat tragedi di atas, ternyata pembunuhan yang dilakukan di masjid bukanlah asing dalam sejarah dunia, lebih-lebih lagi dalam era di mana rasa saling hormat-menghormati dalam kepelbagaian agama, bangsa dan keragaman budaya semakin sirna.

Jenayah sebegini dilakukan oleh mereka yang jauh dari agama atau ekstremis agama yang mungkin dimanipulasi oleh pihak berkepentingan, mereka yang dapat meraih untung dari huru-hara yang berlaku.

Ini kerana tiada agama yang membenarkan sebarang bentuk keganasan dilakukan, tidak kira atas alasan apa sekalipun.

Tragedi ini amat menyedihkan umat Islam kerana institusi agama telah pun diceroboh sewenang-wenangnya.

Adakah rantaian serangan dan pembunuhan di masjid ini ingin memperlihatkan kepada kita bahawa peranan masjid sebagai tempat ibadat yang aman dan tenteram kepada jemaahnya tidak lagi boleh diandalkan?

*ROZAIS AL-ANAMY adalah penulis sastera dan penulis bebas di akhbar, majalah dan portal di Malaysia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s