Sultan Selangor titah tutup sekolah tahfiz swasta tidak berdaftar dengan JAIS

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan semua sekolah tahfiz swasta yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ditutup serta ditamatkan perkhidmatannya.

Baginda bertitah, pada masa ini, ada sejumlah 15,000 pelajar tahfiz di 263 sekolah tahfiz swasta yang berdaftar dengan JAIS.

“Beta menitahkan sekolah swasta tahfiz yang tidak berdaftar dengan JAIS dan tidak mempunyai kokurikulum dan sistem pendidikan akademik moden hendaklah ditutup dan ditamatkan perkhidmatannya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.

Turut berangkat hadir Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mengingatkan pegawai kerajaan Selangor termasuk yang berkhidmat di pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat bekerja bersungguh-sungguh, berintegriti dan memberikan komitmen tinggi kepada tugas diamanahkan.

Baginda bertitah, antara perkara yang perlu diatasi oleh PBT pada masa ini ialah memastikan sisa pepejal dapat diuruskan dengan sistematik dan berkesan.

“Sampah-sarap di sesebuah kawasan hendaklah dilupuskan dengan cara yang terbaik supaya tidak akan timbul masalah longgokan sampah yang tidak terkawal serta boleh mengakibatkan pencemaran bau dan membawa penyakit.

“PBT perlu mengawasi dan mengambil tindakan tegas kepada pengusaha restoran dan kedai makan yang tidak menjaga kebersihan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin,” titah baginda.

Dalam perkembangan lain, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat negeri ini untuk menghormati antara satu sama lain dan tidak membesarkan perkara yang menyentuh sensitiviti sesuatu agama, kaum, bangsa atau keturunan yang boleh menggugat keharmonian.

“Gunakanlah kemajuan teknologi yang ada sekarang ini untuk perkara yang positif dan boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat dan bukannya untuk menyebarkan fitnah dan berita palsu serta menghina seseorang yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat,” titah baginda.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s