‘Saya mohon maaf kerana kongsi berita palsu’

“SAYA mohon maaf kepada semua atas perkongsian mengenai penderitaan kanak-kanak yang memerlukan sumbangan orang ramai kerana ia ternyata palsu dan saya tertipu,” kata Pengerusi Persatuan Kebajikan Kanser Bersatu Malaysia, Nor Azmi Jalaludin.

Nor Azmi berkata, perkongsian di laman rasmi Facebook (FB) persatuannya itu adalah atas niat baik mahu membantu dan simpati terhadap seorang pesakit kanser darah tahap tiga.

“Saya malu kerana tertipu namun saya perlu jelaskan perkara ini supaya orang ramai juga tidak tertipu,” katanya ketika dihubungi hari ini

Perkongsiannya semalam adalah bagi memohon sumbangan orang ramai untuk membeli mesin bantuan oksigen kanak-kanak perempuan, Zulaikha Mohd, 3, yang kemudian tular di laman sosial selepas dikongsi ramai termasuk artis popular Datuk Aaron Aziz.

Status itu antara lain mendakwa anak yatim itu yang kematian bapanya tahun lalu dan tinggal di Pulau Pangkor, bergantung hidup pada mesin oksigen yang disewa daripada hospital serta memerlukan bantuan mesin baru kerana mesin lama didakwa rosak.

Nor Azmi berkata, cerita yang dikongsi itu bagaimanapun tidak benar dan perkara itu dimaklumkan rakannya pagi tadi yang kemudian meminta dia membuat laporan polis.

Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Puan Julia berusia 42 tahun yang mendakwa memerlukan bantuan untuk anaknya, Zulaikha pada Jumaat lalu.

“Wanita itu menghubungi saya menggunakan telefon awam yang mendakwa berasal dari Terengganu dan kini menumpang rumah adik iparnya di Pulau Pangkor.

“Dia mendakwa tidak mempunyai telefon dan mahu berjumpa untuk bantuan anaknya yang mempunyai penyakit kanser darah membuatkan saya berjumpanya di hadapan Hospital Seri Manjung (HSM) pada hari sama sebelum solat Jumaat,” katanya.

Nor Azmi berkata, wanita itu bagaimanapun tidak membawa bersama anaknya dan menangis ketika menceritakan penderitaan anak yang kononnya memerlukan mesin pernafasan selain turut menunjukkan surat mati suaminya yang didakwa akibat kemalangan.

“Saya kemudian diberikan nombor akaun atas nama Mohd Zakuan yang didakwa adik ipar wanita itu atas alasan dia tidak mempunyai akaun bank.

“Malangnya semua itu adalah tidak benar dan gambar kanak-kanak itu juga diambil daripada Internet membabitkan pesakit kanser luar negara yang sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, sebagai bekas pesakit kanser tulang, dia memahami kesukaran hidup mereka yang memerlukan dan sebab itu dia mahu membantu pesakit kanser terutama mereka yang serba kekurangan melalui persatuannya yang sudah ditubuhkan sejak tiga tahun lalu.

Sementara itu, pelakon Aaron Aziz melalui Instagramnya berkongsi berita mengenai kanak-kanak itu semalam, yang kemudian turut dikongsi pelakon Nora Danish.

Aaron bagaimanapun sudah memadam status berkenaan serta membuat laporan polis berhubung perkara itu hari ini dan memuat naik rakaman video mengatakan kecewa tertipu mengenai perkara itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 12:20 PM – Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s