RAMADAN BULAN PENCEN AKHIRAT

Segelintir kita seawal bulan Rejab lagi sudah mula membeli baju raya, mengecat dan mengubah suai rumah serta menukar perabot baru untuk menyambut ketibaan Syawal.

Dalam tak sedar, terlalu banyak belanja yang diperuntukkan untuk meraikan Aidilfitri, sedang hakikatnya ganjaran yang melimpah-ruah semasa bulan puasa itu jauh lebih berkat dan bermanfaat.

Adanya bulan Ramadan menunjukkan betapa Allah memberi kita peluang untuk melipat gandakan pahala dan ganjaran yang berganda-ganda.

Selain berpuasa, umat Islam yang berkemampuan turut diwajibkan untuk membayar zakat fitrah di penghujung Ramadan, selain kita asyik mencari habuan malam lailatulqadar.

Penduduk Muslim di dunia dianggarkan berjumlah 1.3 bilion. Secara kasarnya, jika nisbah orang yang wajib mengeluarkan zakat fitrah di kalangan mereka 90 peratus, maka jumlah mereka ialah 1.17 bilion.

Zakat fitrah adalah zakat diri bukan zakat harta, oleh itu jumlah yang wajib zakat adalah ramai kerana hampir semua umat Islam wajib mengeluarkan zakat fitrah.

Syarat wajib zakat fitrah ialah memiliki lebihan keperluan untuk Aidilfitri dan setelah ditolak jumlah tertentu untuk kegunaan keluarga.

Dalam sebuah hadis maksudnya: “Rasulullah SAW memfardukan zakat fitrah iaitu segantang tamar atau segantang gandum ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, kecil dan besar daripada kalangan umat Islam.

Baginda memerintahkan supaya ia ditunaikan sebelum orang ramai keluar pergi menunaikan sembahyang.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

ATUR KEWANGAN

Selain membayar zakat fitrah, ketahui beberapa amalan berkaitan wang ringgit yang boleh dilakukan dalam bulan Ramadan iaitu:

1) ZAKAT HARTA

Jadikan bulan puasa ini sebagai kiraan haul harta zakat. Melalui cara ini, sudah pasti anda akan sentiasa ingat bilakah waktunya untuk membayar zakat harta.

Jenis-jenis harta yang dikenakan zakat ialah hasil pertanian, binatang ternakan, perniagaan, wang simpanan, emas dan perak.

Ia boleh dilunaskan di institusi atau pejabat zakat, pusat pungutan zakat setempat (masjid atau surau yang menjadi ejen pusat zakat negeri) dan melalui amil-amil bertauliah yang dilantik.

2) SEDEKAH

Jika zakat harta adalah satu kewajipan, sedekah pula ialah perkara sunat yang mulia untuk menggembirakan orang lain.

Pastikan anda mempunyai pengiraan yang betul untuk membezakan peruntukan zakat harta dan sedekah.

Antara tiga fadilat sedekah ialah dimurahkan rezeki, dapat menolak bala dan dipanjangkan usia. Ini kerana penerimanya akan mengucapkan ‘alhamdulilah’ dan seperti disebutkan di sebuah hadis yang bermaksud, “Sesiapa yang tidak mengasihani tidak akan dikasihani.”

Apabila anda bersedekah, hendaklah didahulukan orang yang terdekat seperti adik-beradik dan juga jiran tetangga sebelum menghulur bantuan kepada orang lain.

Selain wang, sedekah juga wujud dalam amalan-amalan sunat seperti bertasbih, bertakbir, bertahmid dan bertahlil.

3) BELANJA BERBUKA PUASA

“Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, adalah baginya pahala seumpama pahala orang yang berpuasa itu, tanpa dikurangi walaupun sedikit daripada pahala orang yang berpuasa itu.” (Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Khzaimah dan Ibnu Hibban)

Sayangnya, Ramadan sering diraikan seperti pesta makanan. Maka jika makanan untuk berbuka puasa bagi anda sekeluarga sudah mencukupi, alangkah baiknya jika dapat berkongsi kegembiraan ini dengan orang lain, yang barangkali tidak mempunyai wang untuk berbuka.

Salurkan kesenangan pada fakir miskin dan anak-anak yatim, mungkin makanan yang dihadiahkan dapat mengukir senyuman terindah di wajah mereka. Begitulah persiapan kewangan yang bijak menjelang Ramadan untuk diamalkan.

Inilah bulannya untuk kita memberi dengan lebih banyak walaupun barangkali kita masih belum bergelar jutawan.

Suka bersedekah boleh menjadi satu langkah terbaik untuk mengubah situasi kewangan seseorang. Jadikan ia suatu bulan untuk ‘memberi’ dan membantu orang lain seterusnya menjadikan amalan itu sebagai satu pencen akhirat!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s